Wednesday, April 20, 2011

Aleesya's Trip Part Two

Here I am, menggigihkan diri lagi untuk menulis. Hari ni genap umur anakanda ceriaku sepuluh bulan, alhamdulillah. Jadi sesuai untuk sambung menulis sebab nak tulis mengenai tarikh 20 haribulan pada umur anakanda lima bulan. Harap terus sudi membaca!


20 November 2010 (Sabtu)


Akhirnya kami tiga beranak tiba di lapangan terbang London Heathrow, alhamdulillah. Masa sekarang ialah 3.45 pm waktu London dan 11.45 pm waktu Malaysia. Kami turun dengan pantas sebagai penumpang priority dan dengan cepat juga dapat beg-beg kami. Perkara pertama adalah uruskan anakanda. Hai, kan awal-awal dah membuang khazanahnya di tanah UK ni hehehe. Di sini pun sangat selesa dengan baby room, jadi urusan dengan anakanda jadi sangat mudah sekali. Kemudian kami tukar wang, memang rugi tukar wang di sini, elok tukar siap-siap di Malaysia. Saya lebih rugi lagi sebab saya tukar travellers cheque yang dalam USD, jadi dua kali convert. Dari Terminal 1,2,3 (memang begitu namanya, jadi saya tak tau exactly terminal nombor berapa hehe). Dari sana kami terus ambil tube, Picadilly Line ke King's Cross Station. Dalam tube (train) tu ada perempuan mat saleh yang peramah tanya kami dari mana dan teruja tengok bayi kecil dibawa jalan jauh. Tapi yang tak sedapnya dia tanya betulke Malaysia tu negara yang banyak nyamuk?...ada ke patut?...ishkk..."sentap hati mak nak!!! hehehe. Hubby saya saja yang melayannya, sambil tersengih hubby saya kata dengan sopan "no...that is not true.."
Cuaca rasa agak sejuk sebab kami sudah mula berada di luar bangunan bila melintas ke bangunan St. Pancras Station dan hari pun sudah gelap. Kami terus simpan bagasi di Left Luggage Center untuk mudahkan pergerakan, almaklumlah bawa anakanda kecil ni. Selepas masukkan barang keperluan dalam beg kecil, kami simpan beg-beg dan terus pergi ambil tiket Eurostar untuk ke Paris pagi esok. Yang baiknya kami telah tempah tiket dari Malaysia, jadi di sana kami cuma pergi ke mesin dan print tiket dengan nombor rujukan yang telah dipos awal kepada kami. Selesai bergambar sikit-sikit hehe..kami beli tomato dan timun untuk buat sandwich buat alas perut malam ini. Kami bawa banyak juga makanan sebab bimbang payah cari makanan halal lebih-lebih lagi tiba waktu dah gelap. Stok makanan kami ada Brahims, Maggie, Instant Pasta, Tuna, Roti dan Mushroom Soup. Ada juga benda-benda lain, nanti saya bagitau ya. Selepas beli tomato dan timun, kami berjalan mencari hotel kami, Premier Inn yang juga telah ditempah awal dari Malaysia. 




Hotelnya cantik walaupun lobinya kecil, hotel baru. Nampak macam baru dibina di celah antara dua bangunan, tapi ok biliknya besar juga. Jadi kami berehat dan tak sabar untuk ke Paris esok... Kota Cinta!...here we come!!


Wednesday, April 6, 2011

Aleesya's Trip Part One

Hari ni memang dah bulat azam untuk mula menulis mengenai pengalaman membawa anak kecil ke perjalanan yang jauh. Aduuuh dah berbulan tertunda, tapi as I always remember, "never too late". Harap itu jadi motivasi dan bukannya alasan untuk bertangguh. Saya akan tulis secara kronologi, agar ia dapat jadi seperti diari buat tatapan anakanda baik hati saya di masa hadapan dan buat anda yang budiman yang sudi membaca jua.

19 November 2010 (Jumaat)

Pagi ini seawal 6.30 pagi dah bertolak ke KLIA dihantar oleh kekanda-kekanda saya Angah dan Alang. Trip ni adalah dari KLIA ke London Heathrow. Saya ada kerja kecil di London dan suami kata elok ambil kesempatan ini untuk bawa anakanda ceria sekali. Al-maklum belum pernah berpisah setakat ni. Waktu ni anakanda berumur lima bulan, jadi selain merakamkan perjalanan penuh pengalaman ini, saya juga ambil kesempatan untuk kongsi tips untuk membawa anak kecil ke luar negara, pada masa cuaca sejuk. Pada masa ni cuaca di London adalah penghujung autumm, dah nak masuk winter sangat dah ni, jadi dah tentu sejuuk.

Memandangkan kami bertolak awal pagi, jadi anakanda Aleesya yang sedang nyenyak tidur saya angkat saja naik ke kereta, tanpa dress up macam nak pergi London, hehehe, iyalah orang nak jalan jauh pakaian pun kena sesuai, tapi Aleesya dengan baju tidur dan lampin yang masih belum disalin. Persediaan yang kami buat memang menepati keperluan. Backpack yang disandang suami mengandungi lampin, minyak kayu putih, bedak, losyen, body & hair shampoo (semua travelling size), sleepers, selimut bayi, susu, air panas dan suam, wet wipes dan 2 pasang baju bayi. Selepas check-in, kami terus ke bilik bayi bersebelahan tandas di kawasan berlepas. Bilik tu memang superb!..thank you to MAS for this great facilities. Ada katil tempat baringkan dan uruskan bayi, ada tempat duduk untuk menunggu, ada warm water di washing basin dan sabun dalam dispenser. Sungguh selesa.

Sebaik selesai uruskan anakanda Aleesya, my hubby's brother or my adik ipar la muncul. Bijak betul dia mencari kami walau pun kami tiga beranak dalam bilik baby tu. Mungkin kerana dia orang KLIA dan dah boleh agak ke mana kami akan pergi sebaik tiba di KLIA seawal pagi itu. Dengan kemunculan uncle Aleesya itu, urusan menjadi semakin lancar, dia dukung Aleesya, kami bersarapan, tukar duit di money changer dan berjalan terus masuk ke dewan berlepas. Sampai di dewan berlepas, isteri adik ipar, my biras la.. sedang bertugas di sana, alhamdulillah. Jadi dengan bantuan adik ipar dan isterinya, kami diberi prioriti masuk ke dalam pesawat, bukan sahaja kerana menjadi tetamu business class, tapi sebab bawa puteri kecil Aleesya. Rahmat besar daripada Allah kerana bawa baby ni, ke mana-mana pun didahulukan, yang menumpang keselesaannya ibu dan abahnya lah..Alhamdulillah.

Di atas pesawat, perkara pertama ialah saya bagi ubat mengelakkan sakit telinga kepada Aleesya. Bayi akan ada alahan kepada perubahan altitud iaitu ia akan rasa sakit di telinga akibat tekanan. Jadi persediaan seminggu awal sebelum trip ni ialah bawa Aleesya jumpa doktor dan terangkan tentang perjalanan kami. Ubat tu diberi setengah jam sebelum kapal terbang berlepas. Kemudian anakanda Aleesya diberikan basinet iaitu katil khas buatnya kerana kita tidak dibenarkan memangku bayi semasa berlepas dan mendarat. Dengan izin Allah, selepas diletakkan dalam basinet dan diberi susu, Aleesya pun tidur dengan nyenyaknya. Percaya atau tidak, Aleesya tidur sepanjang perjalanan dua belas jam itu. Dia hanya bangun waktu saya tukarkan lampinnya, beri susu dan bergambar sekejap, selepas itu dia terus-terusan tidur walaupun disuapkan susu sebanyak dua kali lagi sebelum mendarat.

Jadi seronok sangat la ibu dan abah Aleesya ni kerna anakanda sangat baik budi. Kami enjoy makan dan tonton filem sepanjang perjalanan. Saya sempat tonton filem Budak Setan dengan sepenuh hati sampai bergenang air mata. Maklumlah kalah menonton kat rumah, banyak gangguannya, ini atas flight bolehlah beri tumpuan penuh..:-).


Kesimpulannya, persediaan nak berjalan jauh dengan bayi perlu ada perancangan dan persediaan awal. Apa yang saya kongsikan di sini ialah pertama kami telah bawa Aleesya berjumpa pakar kanak-kanak seminggu sebelum berlepas untuk dapat nasihat dan ubat-ubat yang diperlukan untuk perjalanan jauh dan dalam cuaca yang berbeza nanti. Kedua ialah senaraikan barang-barang keperluan yang perlu ada sentiasa dengan kita. Maksudnya jangan pula masukkan dalam beg besar dan check in, apabila perlu barang tersebut tiada dan kita bakal menghadapi masalah. Ketiga, diri kita yang dewasa ni perlu sentiasa siap, daripada segi pakaian, kasut, beg tangan, backpack, sarung tangan, baju sejuk dan lain-lain kerana tumpuan kita akan banyak diberikan kepada bayi, jadi jangan ada barang-barang kita pula tertinggal atau membawa masalah seperti menjadikan kaki melecet, tudung yang herot berot, kasut yang susah dipakai dan ditanggal dan lain-lain. Keempat, perlu sentiasa pastikan diri dan pakaian sentiasa bersih termasuk apabila ke tandas flight yang sempit kerana dalam perjalanan jauh kita mungkin melalui satu atau dua waktu solat dan kita perlu sentiasa suci untuk menunaikan kewajipan kita kerana di atas flight kita tidak dapat capai beg yang telah di check in untuk tukar mana-mana pakaian yang terkena najis.

Kami mendarat di London Heathrow, jadi tulisan seterusnya adalah berkenaan pengalaman yang lebih mencabar kerana kami telah tiba di London, cuaca telah berubah dan kami tidak tahu arah mana hendak dituju untuk sampai ke hotel kami serta perlu uruskan anakanda yang tiba-tiba buang air besar. Hmm...awal-awal lagi nak meninggalkan khazanahnya di bumi UK. Bersambung nanti...
 

Saturday, February 5, 2011

Macaroon Oreo Analisya

Resipi nak buat Macaroon Oreo Analisya.

Bahan-bahannya (Dapat 30 biji)

4 petak (bar) coklat masakan - lebih kurang 4 x 1 inci
1 cawan oat
1 cawan gula pasir
1 sudu esen vanila
3 biji putih telur
3 keping kertas minyak dan potong saiz 2 x 2 inci

Cara Membuatnya:

1.   Gunakan pengisar kering (blender pendek yang selalu datang dengan set blender kita) untuk kisar coklat, gula pasir dan oat. Kisar berasingan.
2.   Putarkan (pukul) putih telur hingga kembang menjadi buih halus dan putih bersih
3.   Masukkan gula yang telah dikisar dan pukul lagi hingga jadi krim haluuussss....
4.   Masukkan esen vanila dan kacau hingga rata
5.   Masukkan coklat yang telah dikisar dan kacau hingga rata
6.   Masukkan  oat dan kacau hingga menjadi adunan yang rata dan sebati
7.   Susun kertas yang telah dipotong ke dalam loyang dan sudukan adunan ke atas kertas
8.   Bakar pada suhu 150 darjah selama lebih kurang 20 minit

Ni gambar macaroon saya. Tak berapa cantik, kalau nak cantik masukkan dalam beg icing dan picitkan atas kertas sebelum bakar. Selamat mencuba!

Wednesday, January 26, 2011

Oh Kampungku!

16 Januari 2011

Hari ni seronok sungguh!...betullah hidup memang indah, dan kita mesti berupaya melihat keindahannya serta jangan lupa mensyukurinya. Saja nak tulis cerita hari ni, mungkin bukannya menarik sangat, tapi saya nak rekodkan agar boleh ingat nanti di masa hadapan. Hari ni pagi-pagi dah bersiap dan siapkan anakanda ceria Aleesya. Rasa segar pagi ni. Selepas sarapan, bawa anakanda sihat duduk-duduk ambil udara segar di luar rumah. Hubby kemas-kemas transport yang ada. Hantar kereta ke car wash, panaskan enjin motor (saya selalu usik dia-motor tu untuk panas-panaskan je ya sebab jarang ditunggang ke mana-mana...:-) ....) keluarkan basikal..dan baru teringat pedal basikal dah tercabut. Kami pun berjalan ke rumah Alang Ogy (my brother) untuk betulkan pedal tu, sebab Alang Ogy memang pro bab repair 'merepair' ni.. Dah lama tak berjalan ke rumah Alang Ogy, rumah dia best dalam dusun, walau pun tak sampai 5 minit berjalan, tapi dah lama tak pegi rumah dia....ini permulaan dalam kisah kampungku hari ni.  Selepas hampir sejam, basikal pun dah elok, saya dan hubby nak try basikal tu, keluarkan satu lagi basikal, tayar pancit pulak.. Anakanda comel dah tidur atas bahu selepas main-main dilayan sepupu-sepupunya Kak Miya dan Abang Aleh serta Pak Lang dan Mak Anne... Saya pun letak anakanda sihat atas katil, ambil fon dan duit masuk poket, terus keluar semula... mula-mula ke tempat car wash, kereta kami masih di sana, mat india yang cuci tu kata tak sempat lagi nak hantar kereta kami balik. Tapi dia sungguh baik tolong pamkan tayar basikal satu lagi yang hubby saya tunggang. Masa tunggu hubby dan mat india tu saya sempat lihat-lihat sekeliling. Tapak car wash tu adalah tempat saya main-main masa kecil-kecil dulu..dah bertahun-tahun tak menjejak kaki di situ..banyak perubahannya..selain ada car wash, ada bengkel kereta, kedai aksesori motor berkuasa tinggi dan kedai makan mamak, sedangkan dulu kebun getah...dan saya main-main dalam kebun getah dengan sepupu-sepupu. Sepupu-sepupu tu di mana pun tak tau da..  hmm.. terasa sangat masa terlalu cepat berlalu...ini part ke dua kisah kampungku..
Selepas itu, saya dan hubby terus kayuh basikal tuju ke pekan, tapi tak sampai di pekan kami belok ke kiri, ke tapak sawah lama yang sekarang sedang dibajak, mungkin kebun sayur sedang diusahakan. Sebelum belok ke kiri saya pandang sekolah saya di sebelah kanan, alahai sekolah menengah.. tiap-tiap hari lalu saja, saya tak toleh pun ke arah sekolah. Hari ni saya lihat banyak juga perubahan pada sekolah. Saya dan hubby terus mengayuh masuk ke dalam kampung berhampiran, nampak bekas anak murid (dulu kecil-kecil tusyen dengan saya) sedang sapu halaman. Dah besar anak murid saya..tapi saya muda lagi...hehehe...macam mana boleh jadi macam ni?...hehehe.... umur tak penting... yang penting nampak muda... hahaha...perasan...Kami terus menuju ke kebun yang ada pokok-pokon durian, dah ada jalan tar, dulu masa kecil saya sering ke sini bila musim durian. Sekarang tak lagi sebab tanah tu dah jadi milik orang lain... bukan orang lain, pak cik saya tinggal di sana sekarang. Kalau pergi ke rumahnya pun bukan musim durian. Sempat juga saya menjenguk ke rumah pak cik saya, tapi senyap aje tak nampak sesiapa, mungkin sedang sibuk dengan aktiviti pagi. Sebelah rumah pak cik tu ada sebuah rumah kayu, dulu arwah makcik tuan punya rumah tu ada masalah pendengaran, kalau cakap dengan dia tak perlu cakap kuat-kuat sebab dia boleh baca gerakan bibir. Kalau tercakap kuat, dia marah, dia kata "aku bukannya pekak!" Hehehe..   tapi dia sangat pembersih. Halaman rumah dia penuh dengan pasir putih bersih yang tak boleh dipijak sebab nanti tinggal kesan kaki. Kalau saya lalu atas pasir tu, arwah mak cik akan betulkan semula pasir tu dengan  penyapu lidi, jadi pasir  tu sentiasa nampak rata dan cantik. Untuk rekod, nama dia Nilam Juwita rasanya....kata orang-orang tua la.... tapi saya panggil dia makcik Nila. Hmmm...Innalillah... makcik tu meninggal kena langgar di tepi jalan besar berhampiran rumah dia tu. Al-fatihah... sekarang halaman rumah tu dah tak ada pasir cantik lagi...Ini part ketiga kisah kampungku.
Kami terus kayuh kembali ke jalan besar. Hubby ajak balik dan tak jadi ke pekan sebab bimbang anak terjaga. Saya setuju dan terus kayuh menuju pulang ke rumah. Sampai di rumah,  anakanda masih belum terjaga..alhamdulillah. Tapi sebaik saya mendekati katilnya, dia angkat kepala...hmm...terasa agaknya ibu berada hampir dengannya...
Itulah kisah pagi tadi. Petang nanti ada juga cadangan untuk ke tepi sungai, tempat mandi-mandi yang terkenal tidak jauh dari rumah saya, yang juga sudah lama tidak saya kunjungi. Kalau rancangan menjadi, akan saya tuliskan di sini sebagai sambungan cerita kampungku... Kisah Aleesya jejalan di Europe?...belum sempat disempurnakan...InsyaAllah tak lama lagi...

Transformasi

9 November 2010

Alhamdulillah hari ini genap pertambahan setahun lagi umurku. Tanpa rahmat dan keizinan Allah, tak akan aku sampai ke hari ini. Syukur sangat-sangat. Tahun ini, sambutan ulang tahun kelahiran lebih bermakna dengan peristiwa-peristiwa penting dan membahagiakan. Tahun ini aku menyambut kelahiran anak sihat dan ceria, anak sulungku alhamdulillah. Pada 6 November, aku menghadiri jamuan sambutan hari jadi anak-anak kecil di Taska Aes D'5. Tanpa disangka aku bertemu dengan kawan lama yang merupakan sepupu pengetua taska. Seronok sungguh dapat berbual dengan kawan lama, melihat keletah anak-anak kecil lebih-lebih lagi anak-anak yang menyambut birthday dengan tema Little Prince and Princess. Aku sempat juga menyumbang puff ayam dan goodies bags untuk jamuan itu.  Lebih istimewa hari itu juga adalah hari ulang tahun kelahiran suamiku. Kami tidak membuat jamuan tahun ini, kerana berada di jamuan harijadi di taska, anak-anak saudara pula sibuk dengan photo shoot mereka dan yang istimewa aku dan suami bersetuju meraikan birthday kami di London nanti, InsyaAllah. Aku cuma menghadiahkan set pakaian autumn saja buat suamiku yang mengandungi topi, mafla dan sarung tangan.
Apa yang paling penting hari ulang tahun kelahiranku pada tahun ini merupakan satu titik transformasi bagiku kerana tahun ini perjalanan hidupku mengalami banyak perubahan. Transformasi adalah suatu perubahan untuk menjadi lebih baik lagi. Sebenarnya ia sentiasa berlaku, cuma tidak pernah direkodkan secara peribadi. Dulu aku sentiasa ingat akan Kaizen - Continuous Improvements. Aku juga telah membuat azam pada diri sendiri untuk memperbaiki diri dalam banyak perkara. Semakin banyak aku menilai diri, semakin banyak yang perlu kuperbaiki dan banyak juga kekuatan diri yang kutemui. Langkah pertama ialah memperbaiki lagi hubungan dengan Allah dan kedua memperbaiki lagi hubungan dengan manusia. Ketiga menjalani kehidupan lebih berkualiti dari segi pemikiran, aktiviti, kesihatan dan sosial. Aku juga telah menggubal moto hidupku, :-). Apa pun hari jadi tahun ini lebih bermakna daripada biasa Alhamdulillah.

Public Speaking is Freezing!

9 November 2010

Ingin berkongsi pengalaman semasa saya diberi peluang menjadi moderator satu sesi Public Speaking, bukan Pengucapan Awam kerana semua peserta kursus perlu memberikan ucapan dalam Bahasa Inggeris. Para peserta kursus adalah pegawai kanan kerajaan dan para panel pula terdiri daripada personel penting kerajaan yang sememangnya sangat berpengalaman dan berwibawa. Cabarannya ialah saya perlu berhati-hati mengendalikan sesi kerana bukan sahaja para pesertanya pegawai-pegawai tinggi yang hebat bahkan para panelnya pun taraf Dato' dan Tan Sri.  Saya ingin kongsikan tips sebagai moderator dan tips apabila memberi ucapan dalam sesi yang anda akan dinilai.

Tips sebagai moderator:

1. Tiba awal - kreadibiliti dan keyakinan akan terjejas jika tiba lewat, lebih-lebih lagi peserta dan panel orang ternama. Tiba awal membolehkan anda berbincang dengan penganjur dan bersedia dengan kit yang disediakan oleh penganjur

2. Selesa dengan skrip - kadangkala anda dibekalkan dengan skrip oleh itu anda perlu baca berulang-ulang kali dan pastikan ia sesuai dengan sesi anda. Jika skrip tidak dibekalkan, anda mesti sediakan skrip sebagai panduan semasa mengendalikan sesi, lebih-lebih lagi jika sesi dalam Bahasa Inggeris. Walaupun anda tiada masalah bahasa, persediaan yang lemah akan dapat dilihat semasa mengendalikan sesi.

3. Paparkan imej yang baik - Pakai pakaian yang bersesuaian dan mesti memaparkan ketrampilan dan personaliti yang baik. Moderator perlu mendapat keyakinan daripada para peserta dan panel.

4. Fasih dengan peralatan - anda mesti tahu mengendalikan peralatan yang disediakan agar apabila peserta menghadapi masalah menggunakannya, anda boleh menghulurkan bantuan dan tidak perlu membuang masa memanggil juruteknik untuk membaiki masalah yang mudah. Oh ya, anda jangan terperanjat jika jam rendik yang disediakan untuk mengawas masa pun anda tidak tahu menggunakannya. Jadi berbalik kepada perkara nombor satu, datang awal - periksa dan cuba peralatan.

Tips sebagai pemberi ucapan:

1. Struktur ucapan - Sangat penting untuk anda rancang ucapan anda. Anda boleh bahagikan ucapan kepada tiga bahagian iaitu PENGENALAN, ISI dan PENUTUP:

a. PENGENALAN - Dalam satu minit, ucapkan salam dengan hormat dan sebut nama atau pangkat panel dengan betul. Di bahagian ini, penting untuk anda mendapat perhatian daripada panel dan keseluruhan audien. Ada pepatah mengatakan, "Besides challenges in the economy, finance, politic and globalisations, the current challenge is to GET THE ATTENTION AND TO KEEP THE ATTENTION"
b. ISI - Dalam lapan minit sampaikan pengenalan apa yang akan anda sampaikan, kemudian sampaikan isi antara tiga ke lima isi sudah memadai. Anda boleh masukkan sedikit hiasan bagi ucapan anda seperti jenaka ringkas yang bijak, cerita pendek yang berkaitan, maklumat atau data yang berkaitan dan lain-lain serta kesimpulan buat isi ucapan anda. Fokus kepada perkara tertentu dalam ucapan adalah lebih baik daripada anda cuba berfikir untuk menyampaikan segala yang anda tahu atau cuba untuk menyampaikan 'everything under the sky'. Isi yang sedikit tetapi fokus dan diucapkan dengan baik adalah lebih bermakna, dan yang penting membawa markah. Ingat ini adalah pengucapan awam yang dinilai.
c. PENUTUP - Dalam satu minit anda gulungkan ucapan anda dan jika boleh kaitkan ucapan anda dengan audien agar mereka mendapat nilai daripada ucapan yang anda sampaikan.

2. Pengetahuan - Adalah sangat penting anda mengetahui mengenai banyak perkara dalam kehidupan, bukan sahaja perkara-perkara yang berkaitan dengan kerja anda. Dari pemerhatian saya, walaupun peserta fasih berbahasa Inggeris, mereka tetap tidak dapat memberikan ucapan yang baik dek kerana tiada idea berkenaan topik yang diberikan. Oleh itu, bahasa bukanlah penghalang nombor satu. Terdapat  peserta yang tidak fasih berbahasa Inggeris tetapi dapat membuat audien faham dan mempunyai isi yang baik dalam ucapannya dan ia dapat menarik perhatian dan menggembirakan panel. "The more you know, the better you could share" - banyakkan mengambil tahu hal sekeliling melalui membaca, mendengar, berinteraksi dan memerhati.

3. Tiga V (Vocal, Visual & Verbal ) - Anda perlu memberi perhatian kepada tiga perkara penting ini:
a. Vocal (38%) - Pastikan anda memberi menyebut perkataan-perkataan dengan jelas. Jangan kulum perkataan anda dan pastikan suara anda dapat mencapai audien. Lontarlah suara anda mengikut intonasi yang betul, sesuai dengan isi ucapan anda. Penekanan suara terhadap isi-isi tertentu dapat menarik perhatian audien. Vocal memberi kesan 38% terhadap ucapan dan persembahan anda. Ingatlah, anda memberi ucapan untuk didengari bukan bercakap pada diri sendiri.
b. Visual (55%)- Apa yang audien dan panel dapat lihat pada diri anda memberi kesan 55% terhadap ucapan anda. Jika ada sesuatu yang dapat dilihat pada diri anda yang tidak menyokong ucapan anda, audien cenderung menumpu kepada perkara itu, menilai dan tidak mendengar apa yang anda sampaikan. Oleh itu penampilan, riak wajah, bahasa badan dan pergerakan anda semasa memberi ucapan harus dijaga agar ia memberi mesej baik dan menyokong topik yang anda sedang sampaikan. Pergerakan tangan hanyalah untuk menyokong apa anda katakan, jadi tidak perlu menggerakkan tangan pada setiap masa dan tidak bertujuan.
c. Verbal (7%) - Verbal adalah isikandungan apa yang anda perkatakan. Ia memberikan kesan 7% sahaja. Jadi jika sampaikan banyak isi pun, audien tidak akan mendapat kesan optimum. Jadi pilih beberapa isi sahaja tetapi sampaikan dengan vocal dan visual yang sesuai dan meyakinkan anda akan dapat memberikan kesan yang baik kepada pendengar dan panel.

4. Yakin - Keyakinan sangat penting dalam pengucapan awam. Apa yang akan dinilai adalah dari segi bagaimana sesuatu isi itu disampaikan dan ucapan. Jadi panel tidak melihat secara mendalam ke atas isi yang anda sampaikan. Jadi sampaikan isi yang anda yakin kesahihannya dan dengan menyampaikannya membuatkan anda lebih yakin lagi. Bagaimana untuk dapat keyakinan ini? Saya simpulkan dalam satu formula:
Yakin = (Pengetahuan Tentang Subjek + Pengetahuan Tentang Pengucapan Awam) x (Latihan + Pengalaman (Experience) yang berulang-ulang)
Y= (Ps + Ppa) x (L+E)
Oleh itu, keyakinan boleh diasah. Jika L + E itu kosong, maka hasil bagi Y akan juga kosong.

5. Penilaian - Ingat, anda berucap dan anda sedang dinilai. Ramai yang boleh berucap pada setiap masa, tetapi apabila ada penilaian, mereka jadi gugup dan tidak dapat berucap dengan baik. Oleh itu, sentiasa ingat bahawa peluang tidak datang selalu, jadi peluang yang ada jangan dibiarkan merosak imej anda tetapi peluang yang ada diambil untuk memantapkan imej. Fikirkan berapa kali lagi anda akan berucap di hadapan para panel yang hebat dan di hadapan audien yang hebat? Jadi ambil peluang untuk menyampaikan ucapan yang terbaik dalam masa yang singkat dan jangan biarkan masa yang singkat ini untuk audien mendengar dan melihat ucapan yang tidak mantap.
Cukup dahulu perkongsian saya buat setakat ini. Walau pun saya menulis ini berdasarkan pengalaman dan berkongsi tips bagi sesi public speaking/pengucapan awam yang dinilai namun saya percaya tips ini dapat juga digunakan dalam sesi-sesi lain di mana kita akan memberikan ucapan atau membuat persembahan tanpa diberikan markah.  


Permata Hatiku

20.10.2010

Hari ini genap anakanda ceriaku berumur empat bulan. Maknanya hari ini sesuai benar saya menulis mengenai anak sepertimana dijanjikan pada tulisan sebelum ini. Tempoh hampir lapan tahun menanti untuk mendapat cahaya mata setelah mendirikan rumah tangga bagi saya bukanlah satu tempoh yang singkat dan jika saya bayangkan lapan tahun lagi kalau saya akan melalui hidup ini, terasa lamanya. Jadi tidak keterlaluan bagi saya jika berkongsi pengalaman mendapat cahaya mata di sini kerana menulis mengenai anak merupakan kebahagian jua buat saya dan saya percaya anda yang lain juga begitu.
Saya sentiasa tersenyum bila mengenangkan saat-saat saya hamil dan melahirkan dan apabila menggambarkan wajah comel anak, senyuman saya bertambah lebar lagi. Alhamdulillah, mempunyai anak merupakan rahmat, rezeki dan anugerah yang tidak ternilai bagi saya. Ia membuatkan saya lebih menghargai kehidupan ini dan ingin menjadikannya lebih bermakna. Tanggal 20 haribulan Jun tahun 2010 (kebetulan tarikh hari ini sangat cantik iaitu 20.10.2010) lahirlah cahaya mata yang ditunggu-tunggu sekian lama. Bermula di Klebang Resort di Melaka, dari awal pagi saya mengalami sakit perut dan kerap ke tandas. Dari Klebang Resort saya membawa perut yang sangat besar ke rumah abang ipar saya yang sulong kerana hari ini adalah hari perkahwinan anak perempuannya yang bongsu. Masih menahan sakit perut saya tidak makan dan minum tetapi masih mampu tersenyum melayan usikan saudara mara yang mengatakan saya sakit hendak bersalin sedangkan waktu jangkaan bersalin dua minggu lagi. Dalam keadaan sakit-sakit itu, tepat jam 1.00 petang saya dan suami masih meneruskan hasrat membawa pasangan pengantin ke rumah pengantin lelaki dan sepanjang perjalanan saya tidak putus-putus berdoa agar saya akan selamat bersalin jika usikan saudara mara tadi menjadi kenyataan. Walau bagaimanapun saya tidak dapat turun ke rumah pengantin lelaki kerana sakit saya semakin bertambah. Saya hanya duduk di kereta, mendengar paluan kompang dan mengiringi pengantin dengan pandangan mata sambil menahan sakit. Akhirnya jam 4.30 saya dan suami selamat sampai di hospital dan dengan baju batik saya dimasukkan ke wad bersalin. Doktor telah menjangka bayi saya yang bakal lahirkan bersaiz besar jadi saya terus dikejarkan pula ke caeserean section. Tepat jam 5.45 petang bayi saya selamat dilahirkan. Alhamdulillah. Setakat masa saya bersalin, bayi sayalah yang paling berat dilahirkan dihospital itu, KPJ Kajang Specialist Hospital. Berat bayi saya 4.59 kg! Semua macam sebuah mimpi. Menanti hampir lapan tahun, hamil sembilan bulan, dan akhirnya zuriat dilahirkan. Perasaan saya sukar untuk saya gambarkan dengan kata-kata. Saya menulis di sini agar suatu hari nanti bila saya membaca semula catatan ini, saya dapat mengimbau kembali saat-saat cemas tetapi membahagiakan dan dapat mengulangi perasaan ajaib yang saya alami ini. Inilah kebesaran Allah. Semoga saya dapat membesarkan dan mendidik anak anugerah Allah ini dengan baik dan sentiasa mengikut jalan-Nya dalam setiap perkara yang dilakukan dalam hidup. Terima kasih Allah...