Wednesday, January 26, 2011

Oh Kampungku!

16 Januari 2011

Hari ni seronok sungguh!...betullah hidup memang indah, dan kita mesti berupaya melihat keindahannya serta jangan lupa mensyukurinya. Saja nak tulis cerita hari ni, mungkin bukannya menarik sangat, tapi saya nak rekodkan agar boleh ingat nanti di masa hadapan. Hari ni pagi-pagi dah bersiap dan siapkan anakanda ceria Aleesya. Rasa segar pagi ni. Selepas sarapan, bawa anakanda sihat duduk-duduk ambil udara segar di luar rumah. Hubby kemas-kemas transport yang ada. Hantar kereta ke car wash, panaskan enjin motor (saya selalu usik dia-motor tu untuk panas-panaskan je ya sebab jarang ditunggang ke mana-mana...:-) ....) keluarkan basikal..dan baru teringat pedal basikal dah tercabut. Kami pun berjalan ke rumah Alang Ogy (my brother) untuk betulkan pedal tu, sebab Alang Ogy memang pro bab repair 'merepair' ni.. Dah lama tak berjalan ke rumah Alang Ogy, rumah dia best dalam dusun, walau pun tak sampai 5 minit berjalan, tapi dah lama tak pegi rumah dia....ini permulaan dalam kisah kampungku hari ni.  Selepas hampir sejam, basikal pun dah elok, saya dan hubby nak try basikal tu, keluarkan satu lagi basikal, tayar pancit pulak.. Anakanda comel dah tidur atas bahu selepas main-main dilayan sepupu-sepupunya Kak Miya dan Abang Aleh serta Pak Lang dan Mak Anne... Saya pun letak anakanda sihat atas katil, ambil fon dan duit masuk poket, terus keluar semula... mula-mula ke tempat car wash, kereta kami masih di sana, mat india yang cuci tu kata tak sempat lagi nak hantar kereta kami balik. Tapi dia sungguh baik tolong pamkan tayar basikal satu lagi yang hubby saya tunggang. Masa tunggu hubby dan mat india tu saya sempat lihat-lihat sekeliling. Tapak car wash tu adalah tempat saya main-main masa kecil-kecil dulu..dah bertahun-tahun tak menjejak kaki di situ..banyak perubahannya..selain ada car wash, ada bengkel kereta, kedai aksesori motor berkuasa tinggi dan kedai makan mamak, sedangkan dulu kebun getah...dan saya main-main dalam kebun getah dengan sepupu-sepupu. Sepupu-sepupu tu di mana pun tak tau da..  hmm.. terasa sangat masa terlalu cepat berlalu...ini part ke dua kisah kampungku..
Selepas itu, saya dan hubby terus kayuh basikal tuju ke pekan, tapi tak sampai di pekan kami belok ke kiri, ke tapak sawah lama yang sekarang sedang dibajak, mungkin kebun sayur sedang diusahakan. Sebelum belok ke kiri saya pandang sekolah saya di sebelah kanan, alahai sekolah menengah.. tiap-tiap hari lalu saja, saya tak toleh pun ke arah sekolah. Hari ni saya lihat banyak juga perubahan pada sekolah. Saya dan hubby terus mengayuh masuk ke dalam kampung berhampiran, nampak bekas anak murid (dulu kecil-kecil tusyen dengan saya) sedang sapu halaman. Dah besar anak murid saya..tapi saya muda lagi...hehehe...macam mana boleh jadi macam ni?...hehehe.... umur tak penting... yang penting nampak muda... hahaha...perasan...Kami terus menuju ke kebun yang ada pokok-pokon durian, dah ada jalan tar, dulu masa kecil saya sering ke sini bila musim durian. Sekarang tak lagi sebab tanah tu dah jadi milik orang lain... bukan orang lain, pak cik saya tinggal di sana sekarang. Kalau pergi ke rumahnya pun bukan musim durian. Sempat juga saya menjenguk ke rumah pak cik saya, tapi senyap aje tak nampak sesiapa, mungkin sedang sibuk dengan aktiviti pagi. Sebelah rumah pak cik tu ada sebuah rumah kayu, dulu arwah makcik tuan punya rumah tu ada masalah pendengaran, kalau cakap dengan dia tak perlu cakap kuat-kuat sebab dia boleh baca gerakan bibir. Kalau tercakap kuat, dia marah, dia kata "aku bukannya pekak!" Hehehe..   tapi dia sangat pembersih. Halaman rumah dia penuh dengan pasir putih bersih yang tak boleh dipijak sebab nanti tinggal kesan kaki. Kalau saya lalu atas pasir tu, arwah mak cik akan betulkan semula pasir tu dengan  penyapu lidi, jadi pasir  tu sentiasa nampak rata dan cantik. Untuk rekod, nama dia Nilam Juwita rasanya....kata orang-orang tua la.... tapi saya panggil dia makcik Nila. Hmmm...Innalillah... makcik tu meninggal kena langgar di tepi jalan besar berhampiran rumah dia tu. Al-fatihah... sekarang halaman rumah tu dah tak ada pasir cantik lagi...Ini part ketiga kisah kampungku.
Kami terus kayuh kembali ke jalan besar. Hubby ajak balik dan tak jadi ke pekan sebab bimbang anak terjaga. Saya setuju dan terus kayuh menuju pulang ke rumah. Sampai di rumah,  anakanda masih belum terjaga..alhamdulillah. Tapi sebaik saya mendekati katilnya, dia angkat kepala...hmm...terasa agaknya ibu berada hampir dengannya...
Itulah kisah pagi tadi. Petang nanti ada juga cadangan untuk ke tepi sungai, tempat mandi-mandi yang terkenal tidak jauh dari rumah saya, yang juga sudah lama tidak saya kunjungi. Kalau rancangan menjadi, akan saya tuliskan di sini sebagai sambungan cerita kampungku... Kisah Aleesya jejalan di Europe?...belum sempat disempurnakan...InsyaAllah tak lama lagi...

Transformasi

9 November 2010

Alhamdulillah hari ini genap pertambahan setahun lagi umurku. Tanpa rahmat dan keizinan Allah, tak akan aku sampai ke hari ini. Syukur sangat-sangat. Tahun ini, sambutan ulang tahun kelahiran lebih bermakna dengan peristiwa-peristiwa penting dan membahagiakan. Tahun ini aku menyambut kelahiran anak sihat dan ceria, anak sulungku alhamdulillah. Pada 6 November, aku menghadiri jamuan sambutan hari jadi anak-anak kecil di Taska Aes D'5. Tanpa disangka aku bertemu dengan kawan lama yang merupakan sepupu pengetua taska. Seronok sungguh dapat berbual dengan kawan lama, melihat keletah anak-anak kecil lebih-lebih lagi anak-anak yang menyambut birthday dengan tema Little Prince and Princess. Aku sempat juga menyumbang puff ayam dan goodies bags untuk jamuan itu.  Lebih istimewa hari itu juga adalah hari ulang tahun kelahiran suamiku. Kami tidak membuat jamuan tahun ini, kerana berada di jamuan harijadi di taska, anak-anak saudara pula sibuk dengan photo shoot mereka dan yang istimewa aku dan suami bersetuju meraikan birthday kami di London nanti, InsyaAllah. Aku cuma menghadiahkan set pakaian autumn saja buat suamiku yang mengandungi topi, mafla dan sarung tangan.
Apa yang paling penting hari ulang tahun kelahiranku pada tahun ini merupakan satu titik transformasi bagiku kerana tahun ini perjalanan hidupku mengalami banyak perubahan. Transformasi adalah suatu perubahan untuk menjadi lebih baik lagi. Sebenarnya ia sentiasa berlaku, cuma tidak pernah direkodkan secara peribadi. Dulu aku sentiasa ingat akan Kaizen - Continuous Improvements. Aku juga telah membuat azam pada diri sendiri untuk memperbaiki diri dalam banyak perkara. Semakin banyak aku menilai diri, semakin banyak yang perlu kuperbaiki dan banyak juga kekuatan diri yang kutemui. Langkah pertama ialah memperbaiki lagi hubungan dengan Allah dan kedua memperbaiki lagi hubungan dengan manusia. Ketiga menjalani kehidupan lebih berkualiti dari segi pemikiran, aktiviti, kesihatan dan sosial. Aku juga telah menggubal moto hidupku, :-). Apa pun hari jadi tahun ini lebih bermakna daripada biasa Alhamdulillah.

Public Speaking is Freezing!

9 November 2010

Ingin berkongsi pengalaman semasa saya diberi peluang menjadi moderator satu sesi Public Speaking, bukan Pengucapan Awam kerana semua peserta kursus perlu memberikan ucapan dalam Bahasa Inggeris. Para peserta kursus adalah pegawai kanan kerajaan dan para panel pula terdiri daripada personel penting kerajaan yang sememangnya sangat berpengalaman dan berwibawa. Cabarannya ialah saya perlu berhati-hati mengendalikan sesi kerana bukan sahaja para pesertanya pegawai-pegawai tinggi yang hebat bahkan para panelnya pun taraf Dato' dan Tan Sri.  Saya ingin kongsikan tips sebagai moderator dan tips apabila memberi ucapan dalam sesi yang anda akan dinilai.

Tips sebagai moderator:

1. Tiba awal - kreadibiliti dan keyakinan akan terjejas jika tiba lewat, lebih-lebih lagi peserta dan panel orang ternama. Tiba awal membolehkan anda berbincang dengan penganjur dan bersedia dengan kit yang disediakan oleh penganjur

2. Selesa dengan skrip - kadangkala anda dibekalkan dengan skrip oleh itu anda perlu baca berulang-ulang kali dan pastikan ia sesuai dengan sesi anda. Jika skrip tidak dibekalkan, anda mesti sediakan skrip sebagai panduan semasa mengendalikan sesi, lebih-lebih lagi jika sesi dalam Bahasa Inggeris. Walaupun anda tiada masalah bahasa, persediaan yang lemah akan dapat dilihat semasa mengendalikan sesi.

3. Paparkan imej yang baik - Pakai pakaian yang bersesuaian dan mesti memaparkan ketrampilan dan personaliti yang baik. Moderator perlu mendapat keyakinan daripada para peserta dan panel.

4. Fasih dengan peralatan - anda mesti tahu mengendalikan peralatan yang disediakan agar apabila peserta menghadapi masalah menggunakannya, anda boleh menghulurkan bantuan dan tidak perlu membuang masa memanggil juruteknik untuk membaiki masalah yang mudah. Oh ya, anda jangan terperanjat jika jam rendik yang disediakan untuk mengawas masa pun anda tidak tahu menggunakannya. Jadi berbalik kepada perkara nombor satu, datang awal - periksa dan cuba peralatan.

Tips sebagai pemberi ucapan:

1. Struktur ucapan - Sangat penting untuk anda rancang ucapan anda. Anda boleh bahagikan ucapan kepada tiga bahagian iaitu PENGENALAN, ISI dan PENUTUP:

a. PENGENALAN - Dalam satu minit, ucapkan salam dengan hormat dan sebut nama atau pangkat panel dengan betul. Di bahagian ini, penting untuk anda mendapat perhatian daripada panel dan keseluruhan audien. Ada pepatah mengatakan, "Besides challenges in the economy, finance, politic and globalisations, the current challenge is to GET THE ATTENTION AND TO KEEP THE ATTENTION"
b. ISI - Dalam lapan minit sampaikan pengenalan apa yang akan anda sampaikan, kemudian sampaikan isi antara tiga ke lima isi sudah memadai. Anda boleh masukkan sedikit hiasan bagi ucapan anda seperti jenaka ringkas yang bijak, cerita pendek yang berkaitan, maklumat atau data yang berkaitan dan lain-lain serta kesimpulan buat isi ucapan anda. Fokus kepada perkara tertentu dalam ucapan adalah lebih baik daripada anda cuba berfikir untuk menyampaikan segala yang anda tahu atau cuba untuk menyampaikan 'everything under the sky'. Isi yang sedikit tetapi fokus dan diucapkan dengan baik adalah lebih bermakna, dan yang penting membawa markah. Ingat ini adalah pengucapan awam yang dinilai.
c. PENUTUP - Dalam satu minit anda gulungkan ucapan anda dan jika boleh kaitkan ucapan anda dengan audien agar mereka mendapat nilai daripada ucapan yang anda sampaikan.

2. Pengetahuan - Adalah sangat penting anda mengetahui mengenai banyak perkara dalam kehidupan, bukan sahaja perkara-perkara yang berkaitan dengan kerja anda. Dari pemerhatian saya, walaupun peserta fasih berbahasa Inggeris, mereka tetap tidak dapat memberikan ucapan yang baik dek kerana tiada idea berkenaan topik yang diberikan. Oleh itu, bahasa bukanlah penghalang nombor satu. Terdapat  peserta yang tidak fasih berbahasa Inggeris tetapi dapat membuat audien faham dan mempunyai isi yang baik dalam ucapannya dan ia dapat menarik perhatian dan menggembirakan panel. "The more you know, the better you could share" - banyakkan mengambil tahu hal sekeliling melalui membaca, mendengar, berinteraksi dan memerhati.

3. Tiga V (Vocal, Visual & Verbal ) - Anda perlu memberi perhatian kepada tiga perkara penting ini:
a. Vocal (38%) - Pastikan anda memberi menyebut perkataan-perkataan dengan jelas. Jangan kulum perkataan anda dan pastikan suara anda dapat mencapai audien. Lontarlah suara anda mengikut intonasi yang betul, sesuai dengan isi ucapan anda. Penekanan suara terhadap isi-isi tertentu dapat menarik perhatian audien. Vocal memberi kesan 38% terhadap ucapan dan persembahan anda. Ingatlah, anda memberi ucapan untuk didengari bukan bercakap pada diri sendiri.
b. Visual (55%)- Apa yang audien dan panel dapat lihat pada diri anda memberi kesan 55% terhadap ucapan anda. Jika ada sesuatu yang dapat dilihat pada diri anda yang tidak menyokong ucapan anda, audien cenderung menumpu kepada perkara itu, menilai dan tidak mendengar apa yang anda sampaikan. Oleh itu penampilan, riak wajah, bahasa badan dan pergerakan anda semasa memberi ucapan harus dijaga agar ia memberi mesej baik dan menyokong topik yang anda sedang sampaikan. Pergerakan tangan hanyalah untuk menyokong apa anda katakan, jadi tidak perlu menggerakkan tangan pada setiap masa dan tidak bertujuan.
c. Verbal (7%) - Verbal adalah isikandungan apa yang anda perkatakan. Ia memberikan kesan 7% sahaja. Jadi jika sampaikan banyak isi pun, audien tidak akan mendapat kesan optimum. Jadi pilih beberapa isi sahaja tetapi sampaikan dengan vocal dan visual yang sesuai dan meyakinkan anda akan dapat memberikan kesan yang baik kepada pendengar dan panel.

4. Yakin - Keyakinan sangat penting dalam pengucapan awam. Apa yang akan dinilai adalah dari segi bagaimana sesuatu isi itu disampaikan dan ucapan. Jadi panel tidak melihat secara mendalam ke atas isi yang anda sampaikan. Jadi sampaikan isi yang anda yakin kesahihannya dan dengan menyampaikannya membuatkan anda lebih yakin lagi. Bagaimana untuk dapat keyakinan ini? Saya simpulkan dalam satu formula:
Yakin = (Pengetahuan Tentang Subjek + Pengetahuan Tentang Pengucapan Awam) x (Latihan + Pengalaman (Experience) yang berulang-ulang)
Y= (Ps + Ppa) x (L+E)
Oleh itu, keyakinan boleh diasah. Jika L + E itu kosong, maka hasil bagi Y akan juga kosong.

5. Penilaian - Ingat, anda berucap dan anda sedang dinilai. Ramai yang boleh berucap pada setiap masa, tetapi apabila ada penilaian, mereka jadi gugup dan tidak dapat berucap dengan baik. Oleh itu, sentiasa ingat bahawa peluang tidak datang selalu, jadi peluang yang ada jangan dibiarkan merosak imej anda tetapi peluang yang ada diambil untuk memantapkan imej. Fikirkan berapa kali lagi anda akan berucap di hadapan para panel yang hebat dan di hadapan audien yang hebat? Jadi ambil peluang untuk menyampaikan ucapan yang terbaik dalam masa yang singkat dan jangan biarkan masa yang singkat ini untuk audien mendengar dan melihat ucapan yang tidak mantap.
Cukup dahulu perkongsian saya buat setakat ini. Walau pun saya menulis ini berdasarkan pengalaman dan berkongsi tips bagi sesi public speaking/pengucapan awam yang dinilai namun saya percaya tips ini dapat juga digunakan dalam sesi-sesi lain di mana kita akan memberikan ucapan atau membuat persembahan tanpa diberikan markah.  


Permata Hatiku

20.10.2010

Hari ini genap anakanda ceriaku berumur empat bulan. Maknanya hari ini sesuai benar saya menulis mengenai anak sepertimana dijanjikan pada tulisan sebelum ini. Tempoh hampir lapan tahun menanti untuk mendapat cahaya mata setelah mendirikan rumah tangga bagi saya bukanlah satu tempoh yang singkat dan jika saya bayangkan lapan tahun lagi kalau saya akan melalui hidup ini, terasa lamanya. Jadi tidak keterlaluan bagi saya jika berkongsi pengalaman mendapat cahaya mata di sini kerana menulis mengenai anak merupakan kebahagian jua buat saya dan saya percaya anda yang lain juga begitu.
Saya sentiasa tersenyum bila mengenangkan saat-saat saya hamil dan melahirkan dan apabila menggambarkan wajah comel anak, senyuman saya bertambah lebar lagi. Alhamdulillah, mempunyai anak merupakan rahmat, rezeki dan anugerah yang tidak ternilai bagi saya. Ia membuatkan saya lebih menghargai kehidupan ini dan ingin menjadikannya lebih bermakna. Tanggal 20 haribulan Jun tahun 2010 (kebetulan tarikh hari ini sangat cantik iaitu 20.10.2010) lahirlah cahaya mata yang ditunggu-tunggu sekian lama. Bermula di Klebang Resort di Melaka, dari awal pagi saya mengalami sakit perut dan kerap ke tandas. Dari Klebang Resort saya membawa perut yang sangat besar ke rumah abang ipar saya yang sulong kerana hari ini adalah hari perkahwinan anak perempuannya yang bongsu. Masih menahan sakit perut saya tidak makan dan minum tetapi masih mampu tersenyum melayan usikan saudara mara yang mengatakan saya sakit hendak bersalin sedangkan waktu jangkaan bersalin dua minggu lagi. Dalam keadaan sakit-sakit itu, tepat jam 1.00 petang saya dan suami masih meneruskan hasrat membawa pasangan pengantin ke rumah pengantin lelaki dan sepanjang perjalanan saya tidak putus-putus berdoa agar saya akan selamat bersalin jika usikan saudara mara tadi menjadi kenyataan. Walau bagaimanapun saya tidak dapat turun ke rumah pengantin lelaki kerana sakit saya semakin bertambah. Saya hanya duduk di kereta, mendengar paluan kompang dan mengiringi pengantin dengan pandangan mata sambil menahan sakit. Akhirnya jam 4.30 saya dan suami selamat sampai di hospital dan dengan baju batik saya dimasukkan ke wad bersalin. Doktor telah menjangka bayi saya yang bakal lahirkan bersaiz besar jadi saya terus dikejarkan pula ke caeserean section. Tepat jam 5.45 petang bayi saya selamat dilahirkan. Alhamdulillah. Setakat masa saya bersalin, bayi sayalah yang paling berat dilahirkan dihospital itu, KPJ Kajang Specialist Hospital. Berat bayi saya 4.59 kg! Semua macam sebuah mimpi. Menanti hampir lapan tahun, hamil sembilan bulan, dan akhirnya zuriat dilahirkan. Perasaan saya sukar untuk saya gambarkan dengan kata-kata. Saya menulis di sini agar suatu hari nanti bila saya membaca semula catatan ini, saya dapat mengimbau kembali saat-saat cemas tetapi membahagiakan dan dapat mengulangi perasaan ajaib yang saya alami ini. Inilah kebesaran Allah. Semoga saya dapat membesarkan dan mendidik anak anugerah Allah ini dengan baik dan sentiasa mengikut jalan-Nya dalam setiap perkara yang dilakukan dalam hidup. Terima kasih Allah...

Love The Crafts

8 October 2010

I believe that my preference and favorite on certain things have changed as I am getting older. At my younger age, I love leather very much to be part of my accessories as it offers quality and style of its own. Now I realised that I appreciate more on fine arts, handicraft product or anytyhing that illustrates elegant and makes me feel speacial. I am sharing images of handicraft bags in my collection. They are made from special colourful yarn, beads, ribbons, lace and others. The handles are special and classy which added more style to each bags. Every bags comes with dark lining and pockets which consist of zipped and open pockets. Anyone who appreciate handicraft products and interested on these bags can always contact me via email manisha6180@yahoo.com. You can design your own bags and order any colour of your favorite. There are more bags to be shared with you to enable you to see and feel the uniqueness of this special handicraft bags.

1. Purple in Colour with unique handle


2. Black in colour with differet design and accessories


3. Brown Colour with wood like finishing and Multiple Colour In Boxes



4. English Design


Hari Raya Oh Hari Raya!

4 Oktober 2010

Hari raya hari yang mulia...penuh bererti kepada kita... tua muda miskin dan kaya... menyambutnya dengan gembira.... lalalala... hmm...teringat pula kepada lagu nyanyian Jamal Abdillah dan Raja Emma suatu ketika dulu. Sememangnya Hari Raya merupakan hari yang menggembirakan. Kegembiraan digambarkan melalui pelbagai perkara seperti pakaian, perhiasan rumah, biskut dan juadah.
Khamis lepas, ada jamuan hari raya di pejabat saya. Rasa gembira bila mula mendengar jamuan hari raya dirancang seperti tradisi tahun-tahun lepas. Seperti biasa jamuan hari raya di pejabat ditaja oleh kelab yang memperuntukkan sejumlah wang yang besar untuk menjamu warga kerja dengan juadah istimewa hari raya seperti sate dengan kuah kacang dan nasi impit, ketupat dan lemang, roti jala dan kuah kari daging, nasi dagang dengan gulai ikan tongkol, kuih-muih dan pelbagai juadah lain. jika dihimpunkan semua, rasanya tak cukup untuk dimuatkan ke perut. Tapi kemeriahan raya tidak terasa jika juadah yang dihidangkan tidak pelbagai rupa dan warna serta rasa.

Kali ini, saya bukan hanya dapat menghadiri jamuan hari raya dan dapat memuatkan perut dengan pelbagai jenis makanan. Tetapi pada tahun ini saya terlibat dalam perancangan dan pengurusan majlis dan memegang tugas khusus sebagai pemegang dana, tidak layak pula rasanya dipanggil menteri kewangan seperti yang digelar oleh kawan-kawan. Tugas menguruskan makanan dibahagikan kepada lima bahagian berbeza dengan menu makanan yang berbeza. Dalam kemeriahan raya, perit sungguh rasanya menguruskan wang. Saya terpaksa mengkorek-korek wang daripada simpanan saya di bank untuk memastikan jamuan hari raya ini menjadi kenyataan. Ini kerana cek untuk mengeluarkan wang daripada Kelab lambat diterima oleh kerana kesibukan setelah cuti lama beraya. Setelah menerima cek, perlu dibank in pula dan mengambil masa dua hari bekerja. Saya pula tidak sampai hati membiarkan setiap wakil bahagian membelanjakan wang mereka untuk menempah makanan yang telah ditugaskan untuk mereka tempah. Akhirnya majlis dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Pengajarannya semasa saya menguruskan wang, amat bermakna buat saya. Pertama adalah perancangan. Jika saya rancang awal, mendapatkan cek awal dan membuka palang cek berkenaan, tentu saya dapat mengeluarkan wang dengan mudah dan cepat. Kedua kepercayaan. Kepercayaan yang wujud antara satu sama lain membuatkan sesuatu tugas menjadi mudah. Baru saya mengerti bahawa segala prosedur dan sistem kerja yang dilabel sebagai birokrasi diwujudkan dalam organisasi adalah kerana masalah kepercayaan. Apabila manusia sudah tidak boleh dipercayai, maka prosedur dan sistem diwujudkan agar tiada penyelewengan dapat berlaku. Jika semua orang memberi kepercayaan dan menjaga kepercayaan yang diberikan, tugas amat mudah dilaksanakan. Sangat mudah seperti urusan penyediaan makanan dalam jamuan hari raya ini, peruntukan wang dikeluarkan berdasarkan bajet yang dihantar, kemudian jika ada wang lebihan akan dipulangkan kepada kelab. Dan sungguh menakjubkan memang ada wang berlebihan untuk dipulangkan ke kelab. Nampak disitu prinsip percaya mempercayai tidak dicemari. Ketiga adalah berkaitan dengan jiwa. Walaupun dalam kes jamuan hari raya yang saya kongsikan ini prinsip kepercayaan masih tinggi, tetapi saya mempelajari bahawa integriti itu berkait rapat dengan jiwa. Saya mempelajari bahawa apabila tiba perkara berkaitan dengan wang ringgit dan peluang mengaut keuntungan, ada pihak yang goyah prisipnya dan rapuh jiwanya dan tidak disangka, kopiah pun boleh diturunkan daripada kepala. Keempat adalah kesabaran. Tanpa kesabaran, mungkin ada saja pihak yang menjadi mangsa kemarahan saya. Tapi kali ini, hmm.. sejak bergelar ibu, malu rasanya hendak meluahkan seratus peratus apa yang dirasa. Walaupun marah memuncak dek perangai sesetengah orang, namun saya masih mampu tersengih dan mengalihkan marah saya kepada perkara lain.

Majlis Hari Raya pada tahun ini memberi banyak pengajaran kepada saya. Hati gembira, perut kenyang, akaun bank susut, pipi lenguh tersenyum, pujian banyak diterima, kemarahan pun ada, kesabaran dan pengorbanan yang meningkat. Terima kasih Allah atas panduanMu dan perlindungan yang diberi untuk meneruskan hidup ini, menjalankan tugas dan pelbagai fungsi sebagai insan yang mempunyai sebab diwujudkan di sini...

Pengertian

21 September 2010

Semalam, genap tiga bulan umur anakandaku Aleesya. Rasa begitu cepatnya masa berlalu, dan semalam merupakan hari yang penuh aktiviti dan boleh dikatakan memberikan kesan kepada fizikal dan mentalku. Termenung sekejap memikirkan banyak perkara yang telah berlaku dalam hidup. Ia membuatkan aku mengambil langkah membina blog sendiri hari ini, tanggal 21 September 2010. Aku terfikir, apa sebenarnya yang dikejar dalam hidup ini? Anak membuatkan aku jadi lebih matang dan yang lebih ketara aku lebih memikirkan soal hidup... di sini... dan di sana nanti...
Hidup yang sibuk, bangun seawal 5.00 pagi walau pun sepanjang malam tidak tidur dengan lena kerana asyik memandang anak, memberi susu, menjaga selimutnya, membacakan ayat al-quran untuknya dan kemudian bersiap-siap untuk memulakan hari dan hantar anak ke taska seawal 6.45 pagi. Selesai menghantar anak, bermulalah pemanduan ke tempat kerja untuk satu jam seterusnya. Menempuh kesesakan jalan raya yang sudah tidak menjadi rungutan kerana telah menjadi kebiasaan. Kemudian menjalankan tugas-tugas di pejabat, memusing-musingkan kepala terhadap pelbagai perkara.
Setelah selesai waktu pejabat, bergegas balik kerana dalam fikiran hanya satu...anakku... Ya Allah betapa besarnya rahmat mempunyai anak... nanti aku tuliskan berkenaan anak pulak. Semalam sebelum ambil anak, ziarah ibu di HUKM. Berlinang juga air mataku setiap kali menziarah ibu. Kenapa aku hanya mampu menziarah, bukannya menjaga ibu di hospital? Pasti ada hikmah di sebalik segala kejadian. Anakku tiba di kala ibu telah tidak sihat lagi. Aku ingin menjaga ibu di hospital, membelai rambutnya dan bergurau-gurau dengan ibu seperti dulu-dulu. Tetapi anakku juga menuntut perhatian dan belaianku sebagai seorang ibu.
Pulang dari hospital terus ke rumah Alang sebab anakandaku ada di sana. Kak Anne ambil awal untuk bermain-main dengannya. Alhamdulillah, selesai makan malam bersama suami di rumah Alang aku balik ke rumah ibu dengan badan yang sangat penat. Tapi tugas belum selesai, persiapan untuk hari esok perlu disediakan sebelum melangkah tidur.
Kali pertama menulis di blog ini, seperti ingin mencatatkan segala-galanya. Tapi yang penting, aku ingin catatkan di sini, apa yang berlaku, segala kesibukan, segala perkara yang kulakukan samada yang gembira, memenatkan, terpaksa dan apa jua mesti ada sebabnya. Berulang-ulang kali aku fikirkan, mesti ada sebabnya aku hidup di dunia ini. Ada sebab Allah letakkan aku dalam keluargaku. Ada tugas yang mesti aku laksanakan di sini dan pada waktu ini.
Buat tulisanku yang pertama kali ini, walau bahasanya tidak tersusun, walau topiknya belum fokus, tapi aku ingin ia menjadi satu titik tolak yang merekodkan sebuah pengertian. Aku ingin menanamkan dalam diri dengan yakin bahawa hidupnya aku di bumi Allah ini, dalam keluarga ini, pada saat ini...pasti ada sebabnya....pasti ada tugasnya. Maka pengertiannya aku mesti laksanakan tugasku sebaik mungkin, dan dalam masa yang sama menghayati kehidupan yang penuh bermakna ini. Dulu aku seorang anak yang manja, gembira, ceria, menyayangi semua orang, berfikiran bersih terhadap semua orang. Kini aku mesti teruskan ciri itu dan mesti lebih banyak memberi dan menyayangi agar aku akan sentiasa menerima dan disayangi... InsyaAllah.

Hello World!

Langkah baru untuk menulis. Selamat Berjaya untuk diriku!