21 September 2010
Semalam, genap tiga bulan umur anakandaku Aleesya. Rasa begitu cepatnya masa berlalu, dan semalam merupakan hari yang penuh aktiviti dan boleh dikatakan memberikan kesan kepada fizikal dan mentalku. Termenung sekejap memikirkan banyak perkara yang telah berlaku dalam hidup. Ia membuatkan aku mengambil langkah membina blog sendiri hari ini, tanggal 21 September 2010. Aku terfikir, apa sebenarnya yang dikejar dalam hidup ini? Anak membuatkan aku jadi lebih matang dan yang lebih ketara aku lebih memikirkan soal hidup... di sini... dan di sana nanti...
Hidup yang sibuk, bangun seawal 5.00 pagi walau pun sepanjang malam tidak tidur dengan lena kerana asyik memandang anak, memberi susu, menjaga selimutnya, membacakan ayat al-quran untuknya dan kemudian bersiap-siap untuk memulakan hari dan hantar anak ke taska seawal 6.45 pagi. Selesai menghantar anak, bermulalah pemanduan ke tempat kerja untuk satu jam seterusnya. Menempuh kesesakan jalan raya yang sudah tidak menjadi rungutan kerana telah menjadi kebiasaan. Kemudian menjalankan tugas-tugas di pejabat, memusing-musingkan kepala terhadap pelbagai perkara.
Setelah selesai waktu pejabat, bergegas balik kerana dalam fikiran hanya satu...anakku... Ya Allah betapa besarnya rahmat mempunyai anak... nanti aku tuliskan berkenaan anak pulak. Semalam sebelum ambil anak, ziarah ibu di HUKM. Berlinang juga air mataku setiap kali menziarah ibu. Kenapa aku hanya mampu menziarah, bukannya menjaga ibu di hospital? Pasti ada hikmah di sebalik segala kejadian. Anakku tiba di kala ibu telah tidak sihat lagi. Aku ingin menjaga ibu di hospital, membelai rambutnya dan bergurau-gurau dengan ibu seperti dulu-dulu. Tetapi anakku juga menuntut perhatian dan belaianku sebagai seorang ibu.
Pulang dari hospital terus ke rumah Alang sebab anakandaku ada di sana. Kak Anne ambil awal untuk bermain-main dengannya. Alhamdulillah, selesai makan malam bersama suami di rumah Alang aku balik ke rumah ibu dengan badan yang sangat penat. Tapi tugas belum selesai, persiapan untuk hari esok perlu disediakan sebelum melangkah tidur.
Kali pertama menulis di blog ini, seperti ingin mencatatkan segala-galanya. Tapi yang penting, aku ingin catatkan di sini, apa yang berlaku, segala kesibukan, segala perkara yang kulakukan samada yang gembira, memenatkan, terpaksa dan apa jua mesti ada sebabnya. Berulang-ulang kali aku fikirkan, mesti ada sebabnya aku hidup di dunia ini. Ada sebab Allah letakkan aku dalam keluargaku. Ada tugas yang mesti aku laksanakan di sini dan pada waktu ini.
Buat tulisanku yang pertama kali ini, walau bahasanya tidak tersusun, walau topiknya belum fokus, tapi aku ingin ia menjadi satu titik tolak yang merekodkan sebuah pengertian. Aku ingin menanamkan dalam diri dengan yakin bahawa hidupnya aku di bumi Allah ini, dalam keluarga ini, pada saat ini...pasti ada sebabnya....pasti ada tugasnya. Maka pengertiannya aku mesti laksanakan tugasku sebaik mungkin, dan dalam masa yang sama menghayati kehidupan yang penuh bermakna ini. Dulu aku seorang anak yang manja, gembira, ceria, menyayangi semua orang, berfikiran bersih terhadap semua orang. Kini aku mesti teruskan ciri itu dan mesti lebih banyak memberi dan menyayangi agar aku akan sentiasa menerima dan disayangi... InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment