Wednesday, January 26, 2011

Permata Hatiku

20.10.2010

Hari ini genap anakanda ceriaku berumur empat bulan. Maknanya hari ini sesuai benar saya menulis mengenai anak sepertimana dijanjikan pada tulisan sebelum ini. Tempoh hampir lapan tahun menanti untuk mendapat cahaya mata setelah mendirikan rumah tangga bagi saya bukanlah satu tempoh yang singkat dan jika saya bayangkan lapan tahun lagi kalau saya akan melalui hidup ini, terasa lamanya. Jadi tidak keterlaluan bagi saya jika berkongsi pengalaman mendapat cahaya mata di sini kerana menulis mengenai anak merupakan kebahagian jua buat saya dan saya percaya anda yang lain juga begitu.
Saya sentiasa tersenyum bila mengenangkan saat-saat saya hamil dan melahirkan dan apabila menggambarkan wajah comel anak, senyuman saya bertambah lebar lagi. Alhamdulillah, mempunyai anak merupakan rahmat, rezeki dan anugerah yang tidak ternilai bagi saya. Ia membuatkan saya lebih menghargai kehidupan ini dan ingin menjadikannya lebih bermakna. Tanggal 20 haribulan Jun tahun 2010 (kebetulan tarikh hari ini sangat cantik iaitu 20.10.2010) lahirlah cahaya mata yang ditunggu-tunggu sekian lama. Bermula di Klebang Resort di Melaka, dari awal pagi saya mengalami sakit perut dan kerap ke tandas. Dari Klebang Resort saya membawa perut yang sangat besar ke rumah abang ipar saya yang sulong kerana hari ini adalah hari perkahwinan anak perempuannya yang bongsu. Masih menahan sakit perut saya tidak makan dan minum tetapi masih mampu tersenyum melayan usikan saudara mara yang mengatakan saya sakit hendak bersalin sedangkan waktu jangkaan bersalin dua minggu lagi. Dalam keadaan sakit-sakit itu, tepat jam 1.00 petang saya dan suami masih meneruskan hasrat membawa pasangan pengantin ke rumah pengantin lelaki dan sepanjang perjalanan saya tidak putus-putus berdoa agar saya akan selamat bersalin jika usikan saudara mara tadi menjadi kenyataan. Walau bagaimanapun saya tidak dapat turun ke rumah pengantin lelaki kerana sakit saya semakin bertambah. Saya hanya duduk di kereta, mendengar paluan kompang dan mengiringi pengantin dengan pandangan mata sambil menahan sakit. Akhirnya jam 4.30 saya dan suami selamat sampai di hospital dan dengan baju batik saya dimasukkan ke wad bersalin. Doktor telah menjangka bayi saya yang bakal lahirkan bersaiz besar jadi saya terus dikejarkan pula ke caeserean section. Tepat jam 5.45 petang bayi saya selamat dilahirkan. Alhamdulillah. Setakat masa saya bersalin, bayi sayalah yang paling berat dilahirkan dihospital itu, KPJ Kajang Specialist Hospital. Berat bayi saya 4.59 kg! Semua macam sebuah mimpi. Menanti hampir lapan tahun, hamil sembilan bulan, dan akhirnya zuriat dilahirkan. Perasaan saya sukar untuk saya gambarkan dengan kata-kata. Saya menulis di sini agar suatu hari nanti bila saya membaca semula catatan ini, saya dapat mengimbau kembali saat-saat cemas tetapi membahagiakan dan dapat mengulangi perasaan ajaib yang saya alami ini. Inilah kebesaran Allah. Semoga saya dapat membesarkan dan mendidik anak anugerah Allah ini dengan baik dan sentiasa mengikut jalan-Nya dalam setiap perkara yang dilakukan dalam hidup. Terima kasih Allah...

No comments:

Post a Comment