4 Oktober 2010
Hari raya hari yang mulia...penuh bererti kepada kita... tua muda miskin dan kaya... menyambutnya dengan gembira.... lalalala... hmm...teringat pula kepada lagu nyanyian Jamal Abdillah dan Raja Emma suatu ketika dulu. Sememangnya Hari Raya merupakan hari yang menggembirakan. Kegembiraan digambarkan melalui pelbagai perkara seperti pakaian, perhiasan rumah, biskut dan juadah.
Hari raya hari yang mulia...penuh bererti kepada kita... tua muda miskin dan kaya... menyambutnya dengan gembira.... lalalala... hmm...teringat pula kepada lagu nyanyian Jamal Abdillah dan Raja Emma suatu ketika dulu. Sememangnya Hari Raya merupakan hari yang menggembirakan. Kegembiraan digambarkan melalui pelbagai perkara seperti pakaian, perhiasan rumah, biskut dan juadah.
Khamis lepas, ada jamuan hari raya di pejabat saya. Rasa gembira bila mula mendengar jamuan hari raya dirancang seperti tradisi tahun-tahun lepas. Seperti biasa jamuan hari raya di pejabat ditaja oleh kelab yang memperuntukkan sejumlah wang yang besar untuk menjamu warga kerja dengan juadah istimewa hari raya seperti sate dengan kuah kacang dan nasi impit, ketupat dan lemang, roti jala dan kuah kari daging, nasi dagang dengan gulai ikan tongkol, kuih-muih dan pelbagai juadah lain. jika dihimpunkan semua, rasanya tak cukup untuk dimuatkan ke perut. Tapi kemeriahan raya tidak terasa jika juadah yang dihidangkan tidak pelbagai rupa dan warna serta rasa.
Kali ini, saya bukan hanya dapat menghadiri jamuan hari raya dan dapat memuatkan perut dengan pelbagai jenis makanan. Tetapi pada tahun ini saya terlibat dalam perancangan dan pengurusan majlis dan memegang tugas khusus sebagai pemegang dana, tidak layak pula rasanya dipanggil menteri kewangan seperti yang digelar oleh kawan-kawan. Tugas menguruskan makanan dibahagikan kepada lima bahagian berbeza dengan menu makanan yang berbeza. Dalam kemeriahan raya, perit sungguh rasanya menguruskan wang. Saya terpaksa mengkorek-korek wang daripada simpanan saya di bank untuk memastikan jamuan hari raya ini menjadi kenyataan. Ini kerana cek untuk mengeluarkan wang daripada Kelab lambat diterima oleh kerana kesibukan setelah cuti lama beraya. Setelah menerima cek, perlu dibank in pula dan mengambil masa dua hari bekerja. Saya pula tidak sampai hati membiarkan setiap wakil bahagian membelanjakan wang mereka untuk menempah makanan yang telah ditugaskan untuk mereka tempah. Akhirnya majlis dapat dilaksanakan dengan sempurna.
Pengajarannya semasa saya menguruskan wang, amat bermakna buat saya. Pertama adalah perancangan. Jika saya rancang awal, mendapatkan cek awal dan membuka palang cek berkenaan, tentu saya dapat mengeluarkan wang dengan mudah dan cepat. Kedua kepercayaan. Kepercayaan yang wujud antara satu sama lain membuatkan sesuatu tugas menjadi mudah. Baru saya mengerti bahawa segala prosedur dan sistem kerja yang dilabel sebagai birokrasi diwujudkan dalam organisasi adalah kerana masalah kepercayaan. Apabila manusia sudah tidak boleh dipercayai, maka prosedur dan sistem diwujudkan agar tiada penyelewengan dapat berlaku. Jika semua orang memberi kepercayaan dan menjaga kepercayaan yang diberikan, tugas amat mudah dilaksanakan. Sangat mudah seperti urusan penyediaan makanan dalam jamuan hari raya ini, peruntukan wang dikeluarkan berdasarkan bajet yang dihantar, kemudian jika ada wang lebihan akan dipulangkan kepada kelab. Dan sungguh menakjubkan memang ada wang berlebihan untuk dipulangkan ke kelab. Nampak disitu prinsip percaya mempercayai tidak dicemari. Ketiga adalah berkaitan dengan jiwa. Walaupun dalam kes jamuan hari raya yang saya kongsikan ini prinsip kepercayaan masih tinggi, tetapi saya mempelajari bahawa integriti itu berkait rapat dengan jiwa. Saya mempelajari bahawa apabila tiba perkara berkaitan dengan wang ringgit dan peluang mengaut keuntungan, ada pihak yang goyah prisipnya dan rapuh jiwanya dan tidak disangka, kopiah pun boleh diturunkan daripada kepala. Keempat adalah kesabaran. Tanpa kesabaran, mungkin ada saja pihak yang menjadi mangsa kemarahan saya. Tapi kali ini, hmm.. sejak bergelar ibu, malu rasanya hendak meluahkan seratus peratus apa yang dirasa. Walaupun marah memuncak dek perangai sesetengah orang, namun saya masih mampu tersengih dan mengalihkan marah saya kepada perkara lain.
Majlis Hari Raya pada tahun ini memberi banyak pengajaran kepada saya. Hati gembira, perut kenyang, akaun bank susut, pipi lenguh tersenyum, pujian banyak diterima, kemarahan pun ada, kesabaran dan pengorbanan yang meningkat. Terima kasih Allah atas panduanMu dan perlindungan yang diberi untuk meneruskan hidup ini, menjalankan tugas dan pelbagai fungsi sebagai insan yang mempunyai sebab diwujudkan di sini...
No comments:
Post a Comment